Salaamun alaikum w.b.t……. Di bawah ini dipetik dua tajuk dari kitab Riyadhus Sholihin karangan Imam Nawawi r.a. Sebagai peringatan bersama kita tentang hubungan kita dengan Allah S.w.t. dan sesama saudara Islam kita. Adakah kita sudah cukup sayang atau cinta kepada sesama saudara Islam kita? Sebagai contoh, jika kita mengajak orang lain kepada kebaikan, adakah kita mengajak dia kerana kita sayang kepadanya atau kerana kita mahu tunjuk kita baik dan benci kepada mereka-mereka yang tidak mendengar kata-kata kita? Sehingga masing-masing mendabik dada mengatakan bahawa cara dia sahaja yang betul dan bersikap terlampau keras terhadap sesama Islam walaupun hanya berbeza pendapat dalam perkara cabang.
Begitu juga halnya dengan kekeluargaan, adakah kita lupa bahawa setiap mukmin dan muslim itu bersaudara? Maka mengapa kebanyakan dari kita sekarang ini masih lagi berpegang kepada keluargaku keluargaku, keluargamu keluargamu? Lupakah bahawa kita semua berasal dari Nabi Adam a.s dan Hawa a.s? Kita hanya bergotong royong dan bermuafakat sesama saudara apabila mengadakan kenduri dan majlis-majlis tertentu sahaja. Tetapi mengapa masing-masing tidak cuba untuk menyelesaikan masalah masing-masing sepertimana jika keluarga kita sendiri yang menghadapi masalah? Sememangnya kita sudah terdidik dari zaman dahulu lagi iaitu terkurung dengan keluarga pertalian darah yang dekat semata-mata dan terpisah dari saudara-saudara lain. Tiada lagi ukhuwwah Islamiyyah yang sebenar-benarnya.
Kerana apa?  Kerana masing-masing terlalu sibuk mengejar urusan dunia, projek sana projek sini, bisnes sana bisnes sini, mana la cukup masa untuk memikirkan tentang semua ini.  Sedangkan ramai saudara-saudara kita diluar sana yang terpinggir, tersisih dan terbengkalai.  Apa yang masing-masing kita kejar sangat di dunia yang sementara ini sebenarnya?
“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” Hadith Riwayat Bukhari
“Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya.” Hadith Riwayat Bukhari
.