Solat witir selepas terawih
1) Assalamualaikum ustaz,
bolehkah kita melakukan 2 kali solat sunat witir dalam satu malam. Contohnya, selepas sunat tarawih saya terus melakukan sunat witir namun begitu pada pertengahan malam saya bangun untuk melakukan tahajud seterusnya witir. Adakah betul cara pelaksanaan ibadah ini???
bolehkah kita melakukan 2 kali solat sunat witir dalam satu malam. Contohnya, selepas sunat tarawih saya terus melakukan sunat witir namun begitu pada pertengahan malam saya bangun untuk melakukan tahajud seterusnya witir. Adakah betul cara pelaksanaan ibadah ini???
Ahmad
2) Assalamualaikum ustaz,saya agak
keliru dengan persoalan yang berkaitan dengan solat sunat witir. Ada
yang mengatakan bahawa witir itu penutup yang bermakna penutup ibadah
kita pada malam itu. Jadi, jika kita berniat untuk beribadah lagi
(selepas terawih di rumah seperti qiam etc) maka tidak perlu buat solat
witir. Saya kurang arif pada ketika saya mendengarkan perkara tersebut
maka saya tidak bertanyakan dari mana sumber itu berasal. Minta panduan
dan huraian sedikit daripada ustaz. Salam Ramadhan.
shariful fadzli
Jawapan:
Pertamanya perlu diketahui di sini
bahawa hukum melakukan solat witir adalah sunat muakkad. Persoalan yang
ditimbulkan di sini ialah mengenai seseorang yang ingin melakukan solat
sunat di rumah selepas dia mengerjakan solat terawih di masjid. Adakah
dia perlu menangguhkan solat witir di masjid dan mengerjakan solat witir
tersebut di rumah sebagai penutup solat malam, atau dia boleh melakukan
solat witir selepas solat terawih dan menyambung solat-solat sunat di
rumah walaupun telah mengerjakan solat witir di masjid?
Jika selesai sunat terawih dan anda
tidak menunaikan solat witir kerana ingin mengerjakannya di rumah
sebagai penutup kepada solat-solat sunat anda, maka ia adalah benar dan
tidak menjadi persoalan di sini.
Yang menjadi perbahasan ulama ialah
bagi mereka yang telah mengerjakan solat witir selepas solat terawih di
masjid dan selepas itu ingin menyambung ibadat solatnya di rumah. Adakah
dia boleh melakukan solat sunat tambahan kerana telah melakukan solat
witir sedangkan solat witir dianggap sebagai penutup solat malam.
Permasalahan ini termasuk dalam masalah khilaf (masalah yang diperselisihkan ulama).
Ringkasnya, pandangan ulama dalam masalah ini adalah seperti berikut:
1) Jika seseorang telah melakukan solat
witir dan kemudian dia ingin mengerjakan solat-solat sunat yang lain,
maka dia boleh terus sahaja mengerjakan solat-solat tersebut dan tidak
perlu mengulangi witirnya. Antara sandaran pendapat ini ialah:
عن أم سلمة أنه صلي الله عليه وسلم كان يركع ركعتين بعد الوتر وهو جالس
(رواه أحمد وأبو داود والترمذي وغيرهم)Maksudnya: Daripada Ummu Salamah r.a, "Bahawa nabi saw pernah mengerjakan dua rakaat lagi sesudah witir dalam keadaan duduk. (riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dll)
Daripada hadis di atas jelas menunjukan
boleh melakukan ibadat solat bagi mereka yang telah melakukan solat
witir. Dia tidak perlu mengulangi solat witirnya berdasar hadis di
bawah.
عن علي أنه قال: سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول: لا وتران في ليلة
(رواه أبو داود والنسائ والترمذي وحسنه)Maksudnya: Daripada Ali r.a bahawa dia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Tiada dua witir dalam satu malam". (riwayat Abu Daud, An-Nasaai, Tirmizi dan dia menganggapnya sebagai Hasan).
2) Pandangan yang kedua pula ialah dia
perlu terlebih dahulu menggenapkan witir yang awal dan selepas itu
barulah dia mengerjakan solat-solat sunat yang ingin dilakukan. Akhirnya
dia menutup solatnya dengan witir yang baru. Antara sandaran kepada
pendapat ini ialah hadis berikut:
Daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah telah bersabda: "Jadikanlah witir sebagai akhir sembahyangmu di malam hari". (riwayat Jamaah kecuali Ibnu Majah)
Sebagai kesimpulan, permasalahan ini
berlaku khilaf di kalangan ulama. Setiap pandangan mempunyai hujah
masing-masing dan kedapatan hujah-hujah lain yang tidak disebutkan di
sini. Beramallah dengan mana-mana pandangan di atas dalam keadaan anda
mengetahui sandaran dan hujahnya. Saya akhiri jawaban ini dengan membawa
hadis nabi seperti berikut:
عن أبي مسعود الأنصاري رضي الله عنه قال: كان رسول الله صلي الله عليه وسلم يوتر أول الليل
وأوسطه وآخره (رواه أحمد بسند صحيح)Maksudnya: Daripada Abi Mas'ud al-Ansori r.a bahawa dia telah berkata: Adalah Rasulullah saw telah melakukan solat witir di awal malam, di pertengahan malam dan juga di akhir malam. (riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang sahih)
Sekian والله أعلم بالصواب
Rujukan:
1) Fiqh sunnah
2) Pelbagai
1) Fiqh sunnah
2) Pelbagai
No comments:
Post a Comment