Bagaimana Mencintai Nabi?
Bagaimana Mencintai Nabi
Shallallahu 'alaihi wa Sallam?
Sebagai
umat Islam kita perlu sentiasa merasa syukur kepada Allah Subhanahu wa
Ta’ala kerana telah dikurniakan nikmat yang besar berupa hidayah Islam,
hidayah hidup di atas sunnah, dan terhindar dari pelbagai bentuk
kefahaman hidup yang menyimpang.
Ini
antaranya adalah berkah dan rahmat yang diberikan oleh Allah melalui
kenabian dan kerasulan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Atas
sebab usaha-usaha kerasulan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
Islam pun sampai kepada kita sehingga hari ini. Atas usaha beliau dan
nikmat yang besar inilah kita sebagai umat Islam memiliki kecintaan
kepada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Pertama-tamanya,
marilah kita fahami bahawa mencintai Nabi itu adalah termasuk ke dalam
hakikat iman. Ini adalah sebagaimana Sabda Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam berikut,
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
“Tidak
sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling
dia cintai melebihi hartanya, keluarganya, dan seluruh manusia yang
lainnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, 1/24, no. 14)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),
قُلْ
إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ
وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ
كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ
وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ
اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah,
“Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum
keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu
bimbang akan merugi, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih
kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya,
maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak
memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” (Surah at-Taubah, 9:
24)
Keduanya,
mencintai dan mengikuti petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
adalah termasuk tuntutan mencintai Allah berdasarkan ayat berikut
(maksudnya),
قُلْ
إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ
وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Katakanlah
(wahai Muhammad), “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah
aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu.”
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali
Imran, 3: 31)
Juga firman Allah (maksudnya),
لَقَدْ
كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو
اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya
telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu
(iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari
kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)
Dengan
menghayati maksud ayat-ayat di atas, adakah kita telah mengikuti contoh
sebagaimana yang dikehendaki bagi merealisasikan fokus mencintai Allah
dan Rasul-Nya? Adakah kita telah benar-benar mengikuti dan mencontohi
Nabi dalam beragama? Adakah apa yang telah kita lakukan dalam amal-amal
beragama kita selama ini menepati sebagaimana yang ditunjuk-ajarkan oleh
beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?
Dalam
merealisasikan slogan “Cinta Nabi (Muhammad Shallallahu ‘alaihiwa
Sallam)” apa yang paling penting adalah dengan melihat kembali diri kita
sama ada telah benar-benar mengikuti sunnahnya. Sejauh manakah
sunnah-sunnahnya yang sampai kepada kita telah kita hayati dan amalkan
dengan sebaik-baiknya.
Maka
dengan ini, apa yang pertama-tamanya lagi prioriti adalah supaya kita
sentiasa menyemak bagaimana kita bertauhid, apakah telah benar
sebagaimana Nabi kita mengajarkannya. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala
berfirman (maksudnya), “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul
kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah (saja), dan
ingkarilah thaghut”.” (Surah an-Nahl, 16: 36)
Al-Haafiz
Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) dalam tafsirnya menjelaskan,
“Pada setiap zaman, para rasul diutuskan untuk menyeru manusia beribadah
hanya kepada Allah dan melarang beribadah kepada selain-Nya. Allah
Ta’ala bertindak mengutus para Rasul kepada manusia dengan membawa misi
ini semenjak terjadinya syirik dalam kalangan anak cucu Adam di zaman
Nabi Nuh. Nuh ‘alaihissalam, diutus kepada mereka sebagai Rasul pertama
yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala kepada penduduk bumi sehingga Dia
menutup mereka dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang
dakwahnya mencakupi jin dan manusia di timur dan barat.
Dan
bahawasanya setiap Rasul memiliki tugas (misi) yang sama, sebagaimana
yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya), “Dan Kami
tidak mengutuskan seorang Rasul sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan
kepadanya, “Bahawasanya tidak ada Ilah (Tuhan yang berhak disembah
dengan benar) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.”
(Surah al-Anbiya’, 21: 25)” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/570)
Atas
sebab itu, hendaklah kita istiqamah dalam bertauhid sebagaimana yang
diperintahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sekaligus
menjauhi pelbagai jenis kesyirikan yang banyak berleluasa. Dengan sebab
itu juga, penekanan harus ditumpukan dalam persoalan ini yang merupakan
tujuan utama beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diutuskan kepada kita
semua.
Setelah
memenuhi dan memahami tuntutan-tuntutan tauhid, ia akan membawa kita
supaya sentiasa mengambil dan melaksanakan sunnah-sunnah beliau
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di setiap aspek kehidupan. Dalam
mengamalkan sunnah, kita mestilah berhati-hati dari berlebih-lebihan
terhadapnya iaitu dengan tidak menokok-tambah dan mengubahsuai sunnah
tersebut. Hendaklah kita mengamalkan agama ini sebagaimana yang
diperintahkan dan diajarkan olehnya. Termasuk dalam rangkuman sunnah,
hendaklah kita meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh Nabi Shallallahu
‘alaihi wa Sallam. Kaedah ushul fiqh menyebutkan, “Perbuatan Nabi
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam meninggalkan sesuatu perbuatan dalam
keadaan wujudnya keperluan terhadap perkara tersebut dan tiadanya
halangan (melakukannya), ia di sini menunjukkan meninggalkan perbuatan
tersebut adalah sunnah dan melakukannya adalah bid’ah.” (Min Usul
al-Fiqh ‘Inda Ahlil Hadis, 1/82)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan,
فَإِنَّ
خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ
وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
“Sebaik-baik
perkataan adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah
petunjuk Muhammad (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), seburuk-buruk perkara
adalah perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama), setiap perkara
yang diada-adakan adalah bid’ah dan setiap yang bid’ah adalah sesat.”
(Hadis riwayat Muslim, 4/359, no. 1435)
Apabila
kita telah memahami sesuatu itu adalah sunnah dan kebenaran, hendaklah
kita berusaha untuk mengamalkannya sekaligus menyampaikannya kepada yang
lain. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa
Ta’ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. “Sesungguhnya
manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman
dan mengerjakan amal-amal soleh dan saling nasihat-menasihati dengan
kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.” (Surah al-‘Ashr,
103: 2-3)
Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
فَلْيُبْلِغْ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ
“Hendaklah
orang yang yang hadir (pada hari ini) menyampaikan (sunnahku) kepada
mereka yang tidak hadir.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6/226. No. 1623)
Perbuatan
menyebarkan dan menyampaikan sunnah ini adalah bertujuan meneruskan
kelangsungan sesebuah sunnah sekaligus bagi menyebar-luaskan hakikat
kebenaran. Sekiranya, dakwah tidak dilaksanakan bagi menyampaikan
sunnah-sunnah Nabi ini, nescaya akan berleluasalah kejahilan dan sunnah
akan mati, lalu akan digantikan dengan perlbagai jenis bid’ah dan
kesesatan.
Selain
dari menyampaikan sunnah-sunnah Nabi yang benar, hendaklah kita
sentiasa memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam sebagaimana yang dituntut oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui
firmannya (maksudnya), “Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah
kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah
al-Ahzaab, 33: 56)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
من كان أكثرهم علي صلاة كان أقربهم مني منزلة
“Sesiapa
di antara kamu yang paling banyak berselawat kepadaku maka dialah yang
paling dekat kedudukannya denganku.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Lihat:
Shahih at-Targhib wa at-Tarhib, 2/137, no. 1672)
Bahawa
berselawat ke atas Nabi adalah sebagaimana yang ditunjuk-ajarkan oleh
beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri berdasarkan riwayat-riwayat
hadis yang sahih. Hendaklah kita tidak melaksanakan selawat dengan
tatacara yang menyanggahi petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Ini banyak berlaku apabila rangkap-rangkap selawat yang asalnya sahih
daripada Nabi, tetapi kemudian diubah-suai demi untuk dijadikan sebagai
nyanyian (atau hiburan), dan praktik amalan berzanji marhaban. Ini
kerana selawat adalah sebahagian daripada bentuk ibadah yang tidak dapat
dilakukan melainkan dengan adanya dalil yang menjelaskan bagaimana
seharusnya ia dilaksanakan. Sebaliknya, hendaklah kita mengambil
lafaz-lafaz selawat sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis yang
sahih dengan tidak menjadikannya sebagai bahan nyanyian (atau hiburan),
dengan tidak menokok tambahnya atau mengubah-suainya, dan tidak
mengkhususkannya hanya pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika
sambutan Maulid Nabi (atau bulan Rabbi’ul Awwal) semata-mata melainkan
padanya ada saranan daripada hadis yang sahih. Ini adalah seperti
memperbanyakkan selawat ketika hari Jumaat, ketika sedang berdoa, dan
ketika nama beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam disebut.
Selanjutnya,
hendaklah kita sentiasa membenarkan apa sahaja yang dibenarkan oleh
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Segala apa yang sahih disampaikan
daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hendaklah kita imani,
membenarkannya dan mentaatinya.
Allah
Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Maka demi Tuhanmu, mereka
(pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim
(pemutus) terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka
tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang
kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (Surah an-Nisa’,
4: 65)
Setelah
kita memahami bahawa wajibnya menuruti segala apa yang datangnya
daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, hendaklah kita meninggalkan
apa sahaja yang dilarang oleh beliau, meninggalkan dan membenci apa
sahaja yang dibenci oleh beliau, dengan itu juga hendaklah kita
menyayangi apa sahaja yang beliau sayangi dan mencintai apa sahaja yang
beliau cintai.
Allah
Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Apa yang diberikan Rasul
kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka
tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat
keras hukumannya.” (Surah al-Hasyr, 59: 7)
“Dan
tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi
perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan
suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan
mereka.” (Surah al-Ahzaab, 33: 36)
Diriwayatkan
dalam hadis-hadis yang sahih bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
memerintahkan supaya menyayangi dan mencintai orang-orang yang beriman
(mukmin) dan orang-orang yang membela agama Allah. Iaitu bermula dari
kalangan para sahabat radhiyallahu ‘anhum dan orang-orang yang
mengikutinya. Termasuk dalam perkara ini adalah mencintai apa yang
dicintai oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Allah
Subhanahu wa Ta’ala turut menjelaskan supaya kita sentiasa berkasih
sayang terhadap orang-orang yang beriman dan tidak berkasih sayang
terhadap orang-orang yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah
Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya), “Kamu tidak akan mendapati kaum yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan
orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang
itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara atau pun keluarga
mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam
hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang
daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di
bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap
mereka, dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya.
Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan
Allah itu adalah golongan yang beruntung.” (Surah al-Mujadilah, 58: 22)
Secara
umum, demikianlah beberapa langkah awal bagi melahirkan dan mendidik
diri dalam mencintai Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Hendaklah kita
berusaha bersungguh-sungguh untuk mendalami ilmu pengetahuan terhadap
sunnah-sunnah beliau dan agama yang telah sempurna ini. Dengan ilmu
tersebut, insya-Allah menjadi bekalan menegakkan syi’ar agama Islam yang
benar sebagaimana yang diwariskan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam kepada kita. Dengan ilmu itu juga akan mengangkat darjat kita
membezakan dengan kaum yang beragama tanpa ilmu. Sekaligus mampu
membimbing kita agar sentiasa di atas jalan yang haq, mencintai Nabi
sebagaimana yang diperintahkan dan meninggalkan perbuatan mencintai Nabi
dengan cara yang tidak dianjurkan sunnah. Tidak hanya sekadar kata-kata
di mulut sebaliknya merealisasikan dengan amal dan usaha. Dan
merealisasikannya di setiap detik waktu dengan mengamalkan
sunnah-sunnahnya yang bukan hanya sekadar dengan berarak setahun sekali
melalui pesta maulidurrasul yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
sendiri tidak pernah menganjurkannya.
Hanya
dengan agama yang didirikan dan ditegakkan di atas prinsip-prinsip
sunnah yang betul, maka ia akan diberikan kejayaan dengan mendapat
pertolongan Allah. Maka, hendaklah kita menegakkan agama Allah ini
dengan kebenaran dan tidak menegakkannya dengan kepalsuan yang
diada-adakan (bid’ah).
Allah
Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Wahai orang-orang yang
beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu
dan meneguhkan kedudukanmu. Dan orang-orang yang kafir, maka
kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menyesatkan amal-amal mereka. Yang
demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang
diturunkan Allah (al-Qur’an) lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala)
amal-amal mereka.” (Surah Muhammad, 47: 7)
Wallahu a’lam...
No comments:
Post a Comment