Monday 28 May 2012


Aku Terima Nikahnya (ATN) pergi terlalu jauh.
Terlalu melebihi jangkaan saya, malah mungkin penerbit sendiri.
Hingga sukar mengejar permintaan pasaran dan saban masa keluhan datang pada kesulitan mendapatkannya.
Penerimaan yang begitu menggalakkan terhadap buku ATN, adalah bukti bahawa persoalan cinta adalah persoalan yang besar. Mungkin ada sebahagian pembaca membeli buku ATN kerana mahu mencari formula cinta, tetapi akhirnya yang ditemui adalah hala tuju sebuah kehidupan. Cinta hanyalah terjemahan kepada pelbagai peristiwa dalaman yang berlaku di susuk tubuh seorang makhluk bernama manusia.
Sesungguhnya ATN hanya satu permulaan.
Bukan sekadar permulaan buat pembaca yang membacanya. Tetapi permulaan kepada saya selaku penulisnya. Banyak dimensi cinta, rumahtangga, keluarga, dan perjuangan di gelanggang Baiti Jannati yang Allah Subhanahu wa Ta’aala tontonkan kepada saya, pasca Aku Terima Nikahnya.
Setahun selepas pelancaran ATN, adalah setahun yang meributkan jiwa dan minda saya. Tatkala manusia terasa dirinya tiba ke matlamat dengan lafaz Aku Terima Nikahnya, rupa-rupanya ia hanya satu permulaan. Langkah pertama sebuah perjalanan luar biasa untuk manusia Bercinta Sampai ke Syurga.
Jom Kita Baca

No comments:

Post a Comment