Monday 28 May 2012

KETAWA YANG AKHIR…


Keyakinan kepada Hari Akhirat sangat penting ketika hidup di dunia. Itulah prinsip yang menjadikan manusia mampu melaksanakan kebaikan walaupun sekiranya tidak mendapat penghargaan atau ganjaran. Dan itulah juga penghalang untuk tidak melakukan kejahatan sekalipun terlepas daripada undang-undang dan pemerhatian orang. Justeru, dunia tidak adil. Acapkali orang baik ditindas dan dizalimi. Manakala orang jahat pula yang disanjung dan dipuja.
Apakah kerana dunia tidak adil kita akan berhenti melakukan kebaikan? Tidak. Orang beriman akan terus membuat kebaikan kerana yakin adanya Hari Ahirat. Di sana setiap kebaikan pasti mendapat balasan. Apa yang lebih diharapkan adalah ganjaran akhirat bukan keuntungan dunia. Hidup di dunia adalah  untuk ‘menanam’ pohon kebaikan sebanyak-banyaknya. Insya-Allah di akhirat nanti akan dituai hasilnya. Mereka yakin, “one who laughs last, laugh best – yang ketawa terakhir ialah ketawa yang terbaik!
Orang beriman celik mata hati. Syurga, pahala, keredhaan Allah dan pengampunanNya jelas tertera di ruang hati. Mereka rela rugi, dicaci dan menderita di dunia yang sementara demi mendapat ganjaran, pujian dan kesenangan di akhirat yang abadi. Dunia ini dirasakan ladang tempat bercucuk tanam. Justeru, mereka adalah orang yang paling sibuk berkerja di dunia. Mereka sentiasa aktif dan produktif. Ya, kecintaan kepada syurga tidak bermakna meminggirkan dunia! 
Hati orang beriman dapat melihat dengan jelas dunia yang dekat dan akhirat yang jauh. Yang dekat (dunia) dimanfaatkan semaksimumnya demi keuntungan pada yang jauh (akhirat). Hati mereka tidak rabun dekat dan juga tidak rabun jauh. Hubungan kesalingan antara keduanya dapat dilihat dengan jelas dan tepat. Menerusi pandangan mata hati, mereka memburu dunia dengan sebanyak-banyaknya… Namun bukan untuk diletakkan di dalam hati. Sebaliknya, hanya diletakkan di tangan agar mudah diagih-agihkan.

No comments:

Post a Comment