Sunday 20 May 2012

Kaunseling: Mahu Kembali Ke Jalan Pulang



Hargailah perbezaan antara dirimu dan orang lain

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِاارَّحِيم
In the name of Allah, the Most Gracious and the Most Merciful.

السلام عليكم


Sekadar perkongsian daripada hamba allah..
Jom baca!!!
Aisha mendapat kiriman emel dari seorang pembaca blog Aisha. Kali ini ia berkisarkan kisah lampau yg pernah dilaluinya dan keinginan dirinya untuk kembali ke jalan pulang.

Soalan:

Sis, maaf mengganggu.

Saya suka sangat baca entri-entri yg terdapat dalam blog sis. Setiap entri sis sangat menyentuh hati saya dan memberi kesedaran pada saya.

Sebelum tu, saya perkenalkan diri saya sebagai (nama dirahsiakan). Sis, boleh saya dapatkan khidmat nasihat dari sis?

Saya sebenarnya terlalu lama menyimpan semuanya yang saya pendam seorang diri dan saya tak tahu pada siapa yg patut saya ceritakan semua ni.

Sis, saya nak berubah nak jadi yg lebih baik. Tetapi kenapa saya rasa macam ada banyak halangan? Kadang-kadang saya fikir, Tuhan tak nak saya berubah ke?

Untuk pengetahuan sis, saya sangat la menjaga diri (harga diri dan semua la yg berkaitan diri dan hidup) masa sekolah dulu.

Dulu, masa di sekolah, saya sangat pentingkan agama, menutup aurat, pakai sock (stokin) semua. Solat tak pernah tinggal. Sentiasa amalkan yg maa'ruf.

Saya telah couple dgn BF saya masa sekolah dulu. Dia sangat menghormati pendirian dan cara saya masa tu. Tak pernah dating. Tak pernah melakukan yg melampaui batasan Islam.

Saya sambung belajar ke IPT, saya masih tetapkan pendirian saya macam tu. Semuanya bermula pada Semester 4.

Saya telah mengenali seorang lelaki. tanpa pengetahuan BF saya yang saya couple waktu sekolah dulu. Dia sangat baik. Bila saya dah dibuai cinta dgn lelaki lain, saya lupa dia dan nasihat dia yg sentiasa mengingatkan saya pada Tuhan.

Akhirnya cara hidup saya terus berubah. Mendadak. Pakaian dah tak seperti dulu. Cara hidup dan pendirian pun dah berubah.

BF saya kecewa bila saya pilih lelaki tu. Akhirnya saya hanyut, bergelumang dgn dosa. Ya Allah. saya memang takut bila ingat semua tu sis. Betapa kotornya saya.

Sehingga satu perkara buruk berlaku pada saya. Saya dirompak dan dirogol.

Saya tau semua tu terjadi disebabkan Tuhan marah sangat pada saya. Kan sis?

Masa tu saya hilang pegangan hidup. Saya tak percaya dengan ketentuan Allah. Parent saya hantar saya ke kaunseling.

Akhirnya saya pulih. Namun, saya tetap merasakan diri ini jijik. Tuhan nak ke saya ni lagi sis?

Saya nak hidup macam dulu balik. Rindu sangat akak, nak hidup macam dulu. Tapi saya rasa macam dah tak layak.

Macam mana ni akak? Tolonglah saya akak. Saya nak jadi baik macam dulu balik.

Tapi apa pandangan kawan-kawan saya kalau saya berubah macam tu? Mungkin mereka akan perli saya nak berlagak baik. Saya betul-betul nak berubah. Tapi saya tak tahu nak mula macam mana.

Thanks sis sebab sudi baca email saya ni. Lega sikit bila ada yg tahu apa yg terbeban dalam hati saya ni.

Terima kasih. Assalamualaikum.

Balasan:

Bismilahirrahmanirrahim. Waalaikumussalam wbt.

Telah Aisha baca emel sis, dan ia mengingatkan Aisha pada firman Allah - Surah Az Zumar ayat 53:

قُلْ يعِبَادِىَ الَّذِينَ أَسْرَفُواْ عَلَى أَنفُسِهِمْ لاَ تَقْنَطُواْ مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعاً

Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya.

إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang

Sis, adalah tidak mustahil bagi seseorang yg pada awalnya berada di jalan yg lurus, namun telah tersesat di pertengahan jalan namun kemudiannya kembali ke jalan pulang, yakni jalan yg diredhai Allah.

Adalah haram bagi orang Islam untuk berputus asa dgn rahmat Allah. Allah telah memanggilmu untuk pulang kembali kepadaNya, maka janganlah kamu teragak-agak untuk pulang!

Allah itu Maha Pengampun. Andai seseorang manusia itu, dilukai dan dilanggar perintahnya, adalah amat sukar untuk dia memaafkan orang yg melukainya; apatah lagi melupakannya.

Lain pula perihalnya dgn Allah. Allah malah menyeru hamba-hambanya yg telah melakukan kejahatan kepada diri sendiri untuk kembali pulang menghadapNya.

Andai Allah telah memanggil kita sedemikian rupa, mengapa masih mahu berputus harap denganNya?


Pulanglah. Masih belum terlambat selagi nyawa masih dikandung badan. Masih belum terlambat selagi pintu taubat masih lagi terbuka luas.

Pulanglah. Jangan sampai nyawa di hujung nafas baru ingin bertaubat. Bimbang andai ia sudah terlewat.

Akan apa segala yg berlaku, ia sebenarnya berhikmah. Tiada yg berlaku hanya untuk sia-sia.

Semuanya berlaku dgn izin Allah dan semuanya berlaku dgn bersebab-musabab. Selagi mana sis beriman dengan Allah dan percaya akan takdirnya, selagi itulah Allah akan memimpin hati sis untuk terus bersabar dan tenang.

"Tidak ada kesusahan (atau bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar)," - At Taghabun: 11

Tiada yang berlaku hanya sekadar kebetulan. Setiap apa pun yang berlaku pada setiap detik di bumi ini, semuanya adalah perancangan Allah yg setelah sekian lama dirancang.

"Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya," - Al Hadid: 22

Walaupun pahit, nampak kalah dan hina di mata manusia, namun mungkin sebenarnya ia satu kejayaan di sisi Allah. Mungkin ia sebenarnya satu kebaikan yg didahulukan dulu dgn kisah yg tidak seberapa menggembirakan kita.

Berapa ramai manusia yg menjadi manusia yg lebih baik setelah melalui kisah-kisah sedemikian. Malah, mereka jauh lebih baik berbanding mereka yg hidup dlm keadaan tidak diuji sedemikian rupa.

Kalau tiada kepayahan, manakan seseorang itu mampu menikmati betapa hebatnya nikmat kesenangan.

Andai seseorang itu tidak pernah terserong sedikitpun, manakan dia mampu tau apa silapnya dan manakan bisa dia menikmati betapa tenang dan nikmatnya berada di pangkuan cinta Ilahi.

"...Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui," - Al Baqarah: 216

Allah tahu sis. Dia lebih tahu apa yg sis lalui. Dia lebih tahu apa yg sis rasa. Malah, Dia lebih tahu apa sebenarnya yg ingin diberikanNya sebagai hikmah di sebalik semua peristiwa ini.

Bersangka baik dgn Allah. Dia sebenarnya ingin memberikan yg terbaik kepada sis, cuma sis belum mengetahuinya lagi apa yg ingin diberikanNya.

Cerita kehidupan sememangnya pahit di tengah namun manis di penghujung. Selagi mana sis merasa pahit, ketahuilah bahawa sis baru berada di pertengahan cerita.

Bila cerita ini berakhir, barulah sis akan nampak hikmah-hikmahnya. Kemudiannya barulah sis akan merasakan betapa manisnya semua ini. Kerana itulah sis harus tabah untuk mengakhiri cerita ini, agar dapat sis nikmati kemanisan disebaliknya.

Kerana itu jugalah sis jangan sesekali berputus asa dgn rahmat Allah. Jangan. Teruskan bersangka baik denganNya.

Allah mengikut sangkaan hambaNya. Selagi mana sis bersangka baik denganNya, selagi itulah dia akan memberikan yg baik-baik kepada sis.

Benarlah cinta boleh memperdaya. Kerana cinta. semuanya boleh diserah semudah-mudahnya.

Cinta sebenarnya perhiasan dunia. Cinta adalah anugerah Allah buat kita. Namun ramai yg menyalah-gunakan anugerah itu dan membuatkan Allah murka kepadanya.

Janganlah kita menjadi orang yg tidak bersyukur; setelah dianugerahkan nikmat cinta, namun menyalah-gunakannya pula.

Mencintai dan menyayangi itu tidak salah, namun menjerumuskan diri ke dalam kancah maksiat dek rasa cinta; itulah yg salah!

Yang berlalu itu ambillah pengajaran, supaya ia tidak berulang lagi di masa hadapan.


Usah gusar andai merasakan manusia lain tidak dapat menerima kita hanya kerana kisah silam kita. Andai Allah masih boleh menerima kita, siapa mereka untuk menolak kita?

Ingatlah. Apabila kita sudah berubah, kita adalah apa yg kita jalani hari ini. Bukan lagi pada masa yg lepas dan kita sendiri pun tidak lagi menjalani kehidupan yg lepas.

Berubahlah sedikit demi sedikit pun tidak mengapa namun tetaplah istiqamah dalam perubahan itu untuk menjadi hamba Allah yg lebih baik.

Dan usah gusar juga akan perihal sahabat-sahabat sis. Jika mereka sahabat sejati sis, mereka akan menyokong sepenuhnya apabila sis ingin kembali ke jalan pulang. Kerana apa? Kerana sahabat sejati itu adalah mereka yg membawa sahabatnya menjadi lebih dekat dengan Allah, bukan menjauhkan.

Malah, siapa tahu andai sebenarnya inilah juga titik permulaan dakwah dalam hidup sis. Apabila sis menunjukkan contoh yg baik, siapa tahu andai sahabat-sahabat sis juga tersentak dari lamunan kehanyutan dan mereka pun turut kembali ke pangkuan cinta Ilahi?

Persahabatan sejati juga adalah persahabatan yg bukan sekadar berkasih-sayang di bumi, namun berjiran dan tetap berkasih-sayang di syurga. Andai sis benar sayangkan mereka, sis seharusnya berusaha untuk membawa mereka turut ke syurga abadi.

Dan perubahan yg baik itu walaupun sukar, haruslah dipaksa pada mulanya.

Walau terhalang sekalipun, ingatlah bahawa Allah sebenarnya ingin memberikan pahala yg lebih. Lebih banyak mujahadah dan usaha untuk pulang kepadaNya, lebih banyak ganjaran pahala.

Orang yg memperoleh iman dengan sewenang-wenangnya mungkin akan kurang menghargai iman itu, namun andai orang itu bersusah payah untuk memperoleh imannya, dia akan benar-benar sayang akan imannya.

Andai kepayahan yg perlu sis lalui untuk memperoleh keimanan itu, maka sis akan menyayanginya sepenuh hati dan takkan pernah sesekali mahu menghadapi kehilangannya.

Mulakanlah perubahan itu dengan menjaga solat. Hayati setiap bait apa yg disebut dalam solat. Banyakkan membaca buku-buku, mendengar ceramah yg mendekatkan kita dgn Allah dan tinggalkan kemaksiatan.

Lindungi aurat sebaiknya. Labuhkan yg mana perlu dilabuhkan. Jaga percakapan dan setiap tingkah laku kita.

Sedarilah bahawa setiap perlakuan yg kita lakukan itu, ada yang mencatatnya dan ada pula yg sedang melihat kita. Andai diperhatikan sedemikian rupa, mahu lagikah kita berterus-terusan dalam kejahatan dan meninggalkan kebaikan?

Kemudian lakukanlah juga solat sunat taubat. Lakukanlah dengan sepenuh hati. Merayulah sepuasnya dengan Allah agar diampunkan segala dosa sebelum diri benar-benar pulang menghadapNya.

Ingatlah bahawa mati itu pasti dan ingatlah juga bahawa ia bila-bila masa sahaja boleh terjadi. Ketahuilah bahawa orang yg bijak ialah orang yg senantiasa mengingati mati dan bersiap sedia untuk menghadapinya.

Akhir kalam, akak mendoakan agar Allah senantiasa bersama sis dan melindungi sis buat selamanya, hinggalah sis berjaya mendiami syurga.

Jangan pernah berputus asa kerana yg berputus asa itu adalah mereka yg kafir.



"...Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir,” [Yusuf :87]


Bagi sesiapa yg ingin turut meluahkan pandangan dan kata-kata dorongan bagi sis, silalah tinggalkan pendapat anda di ruangan komen. Dengan membantu orang lain, sebenarnya kita membantu diri sendiri kerana menyedekahkan pahala kepada diri sendiri.

Semoga Allah sayang dan semoga Allah redha :')



Salam Sayang & Salam Kejayaan,

No comments:

Post a Comment