Wednesday 16 May 2012

Kelebihan Ilmu (Menurut Hadith)

KELEBIHAN ILMU (MENURUT HADITH)
Adapun hadith, maka Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa dikehendaki Allah untuk memperolehi kebaikan, nescaya dianugerahi-Nya pemahaman dan agama, dan diilhami-Nya petunjuk.” (Bukhari & Muslim)
Nabi saw bersabda :
“Orang berilmu (ulama) itu pewaris nabi-nabi.” (Abu Dawud, Turmizi dan lain-lain)
Dan sudah dimaklumi bahawa tidak ada pangkat di atas (melebihi) pangkat kenabian, dan tidak ada kemuliaan di atas (melebihi) kemuliaan yang mewarisi pangkat tersebut.
Nabi saw bersabda :
“Isi langit dan bumi memohon ampun untuk orang yang berilmu.”
Manakah kedudukan yang melebihi kedudukan orang, di mana para malaikat di langit dan di bumi selalu memohonkan ampun baginya? Ornag itu sibuk dengan urusannya, dan para malaikat sibuk pula memohon ampun baginya.
Nabi saw bersabda :
“Bahwa ilmu pengetahuan itu menambahkan kemuliaan orang yang mulia dan meninggikan seorang budak/ hamba sampai ke tingkat raja-raja.” (Abu Na’im, sanad dhaif)
Dijelaskan oleh hadith ini akan faedahnya di dunia, dan sebagai dimaklumi bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal.
Nabi saw bersabda :
“Dua perkara yang tidak dijumpai pada orang munafik : (iaitu) berkelakuan baik dan berfaham agama.” (Turmizi)
Dan janganlah anda ragu akan hadith ini, kerana munafiknya sebahagian ulama fiqh zaman sekarang. Kerana tidaklah dimaksudkan oleh hadith itu akan fiqh yang anda sangkakan. Dan akan diterangkan nanti erti “fiqh” itu. Sekurang-kurangnya tingkat seorang ahli fiqh, tahu dia bahawa akhirat itu lebih baik daripada dunia. Dan pengetahuan ini, apabila benar dan banyak padanya, nescaya terlepaslah dia dari sifat nifaq (munafik) dan riya’.
Nabi saw bersabda :
“Manusia yang terbaik ialah mu’min yang berilmu. Jika diperlukan dia berguna, DAN jika tidak diperlukan, dia dapat mengurus dirinya sendiri.” (Baihaqi, isnad dhaif)
Nabi saw itu bersabda :
“Iman itu tidak berpakaian. Pakaiannya ialah taqwa, perhiasannya ialah malu dan buahnya ialah ilmu.” (Al-Hakim, isnad dhaif)
Nabi saw bersabda :
“Manusia yang terhampir kepada darjat kenabian ialah orang yang berilmu dan berjihad. Adapun orang yang berilmu, maka (mereka) memberi petunjuk kepada manusia akan apa yang dibawa oleh para rasul. Dan orang yang berjihad, maka (mereka) berjuang dengan pedang membela apa yang dibawa oleh para rasul itu.” (Abu Na’im, isnad dhaif)
Nabi saw bersabda :
“Sesungguhnya mati satu suku bangsa, adalah lebih mudah daripada mati seorang yang berilmu.” (Thabrani, Ibnu Abdul Birri)
Nabi saw bersabda :
“Manusia itu ibarat barang logam seperti logam emas dan perak. Orang yang baik ketika jahiliyyah menjadi baik pula ketika Islam apabila mereka itu ada kefahaman (berilmu).” (Bukhari, Muslim)
Nabi saw bersabda :
“Ditimbang pada hari kiamat tinta (dakwat) ulama dengan darah syuhada’.” (Ibnu Abdil Birri, sanad dhaif)
Nabi saw bersabda :
“Barangsiapa menghafal kepada umatku 40 hadith, sehingga dia menghafalkannya kepada mereka, maka aku memberi syafaat dan menjadi saksi baginya pada hari kiamat.” (Ibnu Abdul Birri, dipandangnya dhaif)
Nabi saw bersabda :
“Barangsiapa dari umatku menghafal 40 hadith, maka dia akan bertemu dengan Allah para hari kiamat sebagai seorang ahli fiqh yang ‘alim.” (Ibnu Abdul Birri, dipandangnya dhaif)
Nabi saw bersabda :
“Barangsiapa memahami agama Allah, nesacaya dicukupkan Allah akan kepentingannya dan diberikan-Nya rezeki di luar dugaannya.” (Al-Khatib, isnad dhaif)
Bersabda Nabi saw :
“Diwahyukan Allah kepada Nabi Ibrahim as : “Wahai Ibrahim, bahawasanya Aku Maha Tahu, menyukai tiap-tiap orang yang tahu (berilmu).” (Ibnu Abdul Birri)
Bersabda Nabi saw :
“Dua golongan dari umatku apabila baik (mereka) nescaya baiklah manusia semuanya, dan apabila rosak (mereka) nescaya rosaklah manusia seluruhnya, iaitu pemerintah dan fuqaha’.” (Ibnu Abdul Birri dan Abu Na’im, sanad dhaif)
Bersabda Nabi saw :
“Apabila datanglah kepadaku hari yang tidak bertambah ilmuku padanya yang mendekatkan aku kepada Allah, maka tidak diberikan barakah bagiku pada terbit matahari hari itu.” (Thabrani, Abu Na’im)
Nabi saw bersabda mengenai kelebihan ilmu daripada ibadah dan mati syahid.
“Kelebihan orang berilmu daripada orang ‘abid (ialah) seperti kelebihanku daripada orang yang paling rendah dalam kalangan sahabatku.” (Turmizi, dia mengatakan hasan sahih)
Lihatlah betapa Nabi saw membuat perbandingan antara ilmu pengetahuan dengan darjat kenabian. Dan bagaimana Nabi mengurangkan tingkat amal ibadah yang tidak dengan ilmu pengetahuan, meskipun orang yang beribadah itu tidak terlepas dari pengetahuan tentang peribadatan yang selalu dikerjakan. Dan kalau tidak adalah ilmu, maka itu bukanlah ibadah namanya.
Nabi saw bersabda :
“Kelebihan orang berilmu atas orang ‘abid adalah seperti kelebihan bulan purnama daripada bintang-bintang yang lain.” (Abu Daud, Turmizi dll)
Nabi saw bersabda :
“Yang memberi syafaat pada hari kiamat ialah 3 golongan iaitu para nabi, kemudian para ulama dan kemudian para syuhada (orang-orang yang mati syahid).” (Ibnu Majah, isnad dhaif)
Ditinggikan kedudukan ahli ilmu sesudah nabi dan di atas orang mati syahid, serta apa yang tersebut dalam hadith tentang kelebihan orang mati syahid.

No comments:

Post a Comment